Thursday, August 09, 2007

Gubalkan Akta Gaji Minima SEKARANG

8 Ogos 2007, Pulau Pinang

Tidak dikalahkan oleh respons kerajaan yang mengecewakan, pekerja yang tetap
bersemangat tinggi berhimpun di beberapa tempat untuk menunjukkan ketegasan
mereka untuk memperjuangkan gaji minima RM 900 dan COLA RM 300.

Pada pukul 5.30 petang, lebih kurang 800 orang pekerja daripada beberapa
kesatuan sekerja di sekitar Pulau Pinang berpiket di hadapan Padang TNB,
Jalan Baru, Butterworth.

Dengan memaparkan tuntutan mereka di atas sepanduk dan kadbod, pekerja
menyeru pemandu yang menggunakan Jalan Baru agar membunyikan hon kereta
sebagai tanda sokongan. Seruan ini telah disahut oleh ramai pemandu,
terutamanya pemandu lori dan pemandu bas yang juga dari kelas pekerja.

Slogan seperti "Hidup Pekerja" dan "Naik, Naik Gaji" dilaungkan oleh pekerja
dengan penuh semangat.

Piket anjuran MTUC ini telah berjaya diadakan di 12 tempat termasuk Shah
Alam, Klang, Kuala Lumpur, Pasir Gudang dan Melaka.

Kerajaan perlu menunjukkan keikhlasannya dalam menyelesaikan masalah pekerja
yang dibebankan oleh kos perbelanjaan harian yang semakin tinggi, tetapi
bukan membodohkan pekerja.

Hak ekonomi pekerja tidak boleh digadaikan. Kerajaan yang mengorbankan
pekerja dan memihak kepada kapitalis akan ditolak oleh rakyat.

Pusat Khidmat Pekerja Tanjung mengalu-alukan tindakan MTUC untuk
mempergiatkan pergerakan pekerja yang kuat dan bersatupadu dari bawah.
Pelancaran mogok satu hari adalah penting untuk menjayakan kempen gaji
minima.

Dilaporkan oleh
Soh Sook Hwa
Pusat Khidmat Pekerja Tanjung

No comments: