Monday, March 27, 2006

Pekerja Hotel Mutiara Berpiket Menuntut Hak Bekerja






Pekerja Hotel Mutiara Berpiket Menuntut Hak Bekerja

2006/3/27

28 Mac 2006, adalah hari terakhir pekerja Hotel Mutiara bekerja. Selepas itu, nasib mereka tidak menentu. Sejak 24 Mac, setiap petang kelihatan ramai orang berhimpun dan kedengaran pukulan gendang di tepi jalanraya menuju ke pekan Teluk Bahang. Nampaknya mereka sedang berpesta, tetapi suasana langsung tidak menggembirakan. Pekerja-pekerja Hotel Mutiara berpiket menuntut hak untuk bekerja.

Latar Belakang

Kesatuan Sekerja Hotel Mutiara telah menandatangani Perjanjian Kolektif yang baru dengan pihak majikan pada 11 Januari 2006. Semasa perjanjian tersebut dibuat, pihak pekerja langsung tidak diberitahu bahawa hotel akan menjalani pengubahsuaian.

Tetapi pada 23 Januari 2006, pihak pengurusan Hotel Mutiara telah meneluarkan surat menyatakan bahawa hotel akan tutup selama 18 bulan, demi menjalani proses pengubahsuaian untuk peningkatan taraf. Pihak pengurusan menyatakan hanya akan berbincang dengan pekerja-pekerja selepas Tahun Baru Cina, iaitu pada 3 Februari. Tetapi mesyuarat tersebut telahpun dibatalkan.

Satu mesyuarat di antara pihak pekerja dengan pihak pengurusan hotel telah diadakan pada 20 Mac, untuk membincangkan tentang isu kedudukan pekerja semasa tempoh pengubahsuaian hotel. Tetapi pada hari yang sama, pihak pengurusan telah mengeluarkan surat pemberhentian kerja kepada semua kakitangan hotel!

Lebih kurang 400 orang pekerja akan diberhentikan kerja mulai 29 Mac 2006. Notis hanya diberikan dalam tempoh masa satu minggu. Jelas ini menunjukkan pemberhentian kerja adalah niat buruk pihak pengurusan hotel. Majikan Hotel Mutiara, Tradewinds Hotels and Resorts Sdn Bhd, telah menipu Kesatuan Sekerja semasa membuat perjanjian kolektif, supaya perjanjian tersebut tidak memasukkan syarat-syarat mengenai pemberhentian operasi hotel untuk sementara semasa pengubahsuaian.


Pekerja menuntut untuk terus bekerja

Walaupun pihak majikan berkata akan memberi pampasan kepada pekerja, tetapi cara majikan hotel memberhentikan pekerja adalah satu penindasan dan penipuan, dengan hanya memberitahu dalam masa satu minggu.

Kebanyakan pekerja Hotel Mutiara adalah pasangan suami isteri yang tinggal di kampung-kampung sekitar Teluk Bahang, iaitu di mana Hotel Mutiara teretak. Kehilangan kerja bermaksud kedua-dua sumber pendapatan untuk keluarga ini akan hilang pada masa yang sama.

Pihak majikan Hotel Mutiara tidak ingin mengambil balik pekerja-pekerja yang sedia ada, selepas proses pengubahsuaian siap dan dibuka semula. Majikan hanya berminat untuk mengupah pekerja baru, dan ada juga khabar angina mengatakan majikan lebih cenderung untuk ambil pekerja asing yang bergaji jauh lebih rendah dan lebih senang untuk dieksploitasi. Pemilik Hotel Mutiara, adalah Tradewinds Hotels and Resorts Sdn Bhd, salah sebuah anak syarikat Tradewinds Corporation (sebelum ini dikenali sebagai Pernas International Holdings Berhad ), yang merupakan salah satu pemilik hotel yang terbesar di Malaysia. Mengapa syarikat yang mengaut keuntungan besar daripada rantai hotel di Malaysia ini tidak sanggup melindungi hak dan kebajikan pekerjanya?

Mengikut Abu Mohd bin Abu Baidah, pengerusi cawangan Pulau Pinang Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Hotel, Bar & Restoran Semenanjung Malaysia, semasa Hotel Mutiara Kuala Lumpur, yang di bawah majikan yang sama menjalani pengubahsuaian, pekerja-pekerja diberi pemberhentian sementara, tetapi dengan pembayaran gai pokok semasa tempoh pemberhentian. Semua pekerja kembali bekerja apabila hotel tersebut dibuka semula. Persoalannya, mengapa Hotel Mutiara Pulau Pinang tidak dapat berbuat demikian dan terus memberhentikan langsung semua pekerja?

Bagi pekerja-pekerja di hotel, gaji pokok mereka amat rendah, dan biasanya bergantung pada caj perkhidmatan untuk mengisi pendapatan supaya cukup untuk menampung kehidupan. Pendapatan daripada caj perkhidmatan adalah tidak menentu bergantung pada bisnes hotel. Sekiranya bisnes hotel jatuh, seperti yang berlaku semasa Tsunami melanda Pulau Pinang, pekerja-pekerjalah yang terpaksa menanggung kesusahan itu.

Tuntutan Pekerja-pekerja Hotel Mutiara yang diberhentikan ini mudah sahaja, iaitu mereka diambil balik bekerja apabila hotel dibuka semula selepas 18 bulan. Sementara itu, pihak majikan bertanggungjawab untuk membayar gaji pokok pada pekerja sepanjang tempoh pemberhentian kerja.

Para pekerja Hotel Mutiara akan terus berjuang supaya tuntutan mereka ditunaikan oleh majikan. Mereka akan terus dengan tindakan piket dan berunding dengan pihak majikan.

Perjuangan pekerja Hotel Mutiara amat penting. Sekiranya pihak majikan Hotel berjaya melepaskan diri kali ini, akan membuka satu peluang untuk majikan-majikan hotel yang lain supaya mengguna taktik yang sama untuk menindas pekerja. Hanya dengan pekerja yang bersatu, kemenangan dapat tercapai dan tuntutan menjadi kenyataan.

Hidup Pekerja!

No comments: