Tuesday, December 15, 2009

ULASAN ADUN KOTA DAMANSARA MEMBAHAS PEMBENTANGAN BAJET 2010 NEGERI SELANGOR OLEH YAB DATO MENTERI BESAR


Pengenalan
Adun Kota Damansara Dr. Mohd Nasir Hashim turut serta membahaskan ucapan YAB Menteri Besar tentang Bajet 2010. Beliau mengucapkan syabas dan menyokong penuh pembentangan Bajet 2010 yang komprehensif dan memberangsangkan, khususnya dari aspek Merakyatkan Ekonomi Selangor, memperjuangkan masyarakat Orang Asli dan ingin menghidupkan kembali proses Pilihanraya Kerajaan Tempatan.
Penting sekali, Kerajaan Negeri haruslah bersikap terbuka terhadap segala teguran dan cadangan. Janji-janji haruslah ditepati. Masanya sudahpun tiba untuk tidak lagi menunding jari dan tidak mempertahankan sesuatu yang sumbang dan yang dicurigai. Sepertimana yang pernah diutarakan oleh seorang revolusioner yang terunggul, Karl Marx, bahawasanya ahli-ahli falsafah dan golongan intelektual lebih selesa menterjemahkan dunia ini dalam pelbagai bentuk, cara dan rupa. Tujuan yang lebih bermakna dan lebih afdal lagi adalah untuk mengubahkannya. Justeru itu hasrat yang utama adalah untuk mengubahkan keadaan agar menguntungkan rakyat jelata dan tidak lagi berdolak dalik dan tidaklah lagi tuduh menuduh sesama sendiri.
Adun Kota Damansra juga menegur huraian Adun Kota Alam Shah tentang penahanan ISA. Adun Kota Damansara berpendapat bahawa mangsa-mangsa ISA seharusnya bersedia mengharungi segala jenis penahanan dan penganiayaan. Bersedia menerima hakikat bahawa golongan kapitalis dan konco-konco politik yang berkuasa memang tidak senang dengan perjuangan yang menegakkan keadilan, kebenaran dan mempertahankan prinsip-prinsip kehidupan. Mereka ini pula tidak perlu di puja dan disanjungi setinggi gunung. Tidak perlu menaggih penghargaan dari sesiapa pun. Kerana segala yang dilakukan itu berputik dari hati sanubari yang berpaut kepada keadilan yang hakiki (natural justice), dan dari naluri yang cintakan rakyat. Ingin memperkasakan rakyat.
Pendapatan Per Kapita
Bajet 2010, menyebut tentang Pendapatan Per Kapita (PPK). Mengikut tahun 2009, PPK adalah RM 29,728 setahun. Jika dibahagikan jumlah ini dengan 12 bulan, maka ini bermakna seseorang itu, tidak kira besar ataupun kecil seharusnya menerima lebih kurang RM 2,408 sebulan. Kalau dibayangkan pada keluarga, yang mempunyai suami, isteri dan 3 orang anak, maka pendapatan keluarga ini seharusnya RM 12,400 sebulan. Jumlah ini agak mustahil kerana ramai keluarga mempunyai pendapatan kurang dari RM1000 sebulan. Dan apabila Kerajaan Negeri Selangor menetapkan RM1500 sebagai tahap garis kemiskinan yang baru, maka didapati lebih kurang 30% rakyat Selangor, berada di bawah garis kemiskinan ini.
Pendekkata, Pendapatan Per Kapita sebagai garis pengukur terhadap kemajuan Negara mempunyai limitasi yang tersendiri. Keadaan ini boleh diibaratkan seperti dua orang yang tinggal di sebuah pulau. Yang satu mempunyai dua juta ringgit dan satu lagi tidak ada duit sesen pun. Bila dipuratakan menggunakan Pendapatan Per Kapita maka kedua-duanya adalah bertaraf jutawan !!. Maka itu berwaspadalah apabila menggunakan statistik dan garis pengukurannya.
Gini Coefficient
Keadaan ini telah dikukuhklan lagi dengan statistik Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (United Nations). Badan ini telah menggunakan garis pengukur Gini Coefficient bagi mendedahkan jurang atau perbezaan di antara kaya dan miskin. Di dapati bahawa Malaysia menduduki tangga yang teratas (nombor 1) di dalam Asia Tenggara dan pada peringkat Asia pula Malaysia menduduki tempat yang kedua di belakang Negara Papua New Guinea. Kedudukan ini sungguh tidak membanggakan dan sungguh memalukan kerana keadaan ini menggambarkan jurang yang luas iaitu, yang kaya terlalu kaya dan yang miskin papa kedana.
Ekonomi dan Nilai Kehidupan
Ekonomi seringkali dikait rapat atau di sinonimkan dengan nilai kehidupan. Ini tidak semestinya begitu kerana ekonomi mencerminkan sebahagian saja dari nilai kehidupan atau quality of life. Sebenarnya nilai kehidupan ini bersifat menyeluruh dan merangkumi segala faktor ekonomi, kesihatan, perumahan, pendidikan, pemakanan, keharmonian, keselesaan, keselamatan, emosi dan berbagai lagi. Maka pengukuran terhadap nilai kehidupan mestilah mengambilkira segala aspek ini.
Sabotaj
Keluhan-keluhan tentang Implementation Coordination Unit (ICU) yang bertindak tidak melalui Kerajaan Negeri; tentang projek-projek Federal yang menimbulkan masalah apabila, dengan sengajanya, memberi insentif kewangan kepada pegawai-pegawai kerajaan negeri; fahaman pucuk pimpinan kerajaan pusat yang makin sempit terhadap pengertian semangat Federalisma. Dipertikaikan juga pulangan wang kepada negeri Selangor yang tidak setimpal dengan pungutan cukai yang diserahkan kepada Kerajaan Pusat.
Kalau dikaji secara keseluruhan, Federal Government ini memang cemburu terhadap Negeri Selangor. Kalaulah Malaysia boleh diibaratkan sebagai badan manusia, maka kepalanya adalah negeri Selangor. Kerana segala-galanya berkisar kepadanya. Apabila kerajaan Pakatan Rakyat menguasai kepalanya, maka segala badan yang lain menggelupur dan terkapai-kapai. Maka itulah Perdana Menteri Malaysia mahu mengetuai pasukan merampas kembali Negeri Selangor dan sanggup melakukan apa saja termasuklah mengorbankan sesiapa saja, asalkan Negeri Selangor tidak lagi di dalam tangan Kerajaan Pakatan Rakyat. Ini bermakna negeri-negeri Pakatan Rakyat bukan lagi di anaktirikan tetapi tujuan sebenarnya adalah untuk menghancur dan mengkebumikan Pakatan Rakyat untuk selama-lamanya.
Adun Kota Damansara bersetuju dengan huraian Adun Hulu Kelang, iaitu sudah wujud persekongkolan atau sabotaj dari pihak Pusat bersama JAIS, JKR, PBT, SPRM, SPR, Polis, Kehakiman, Pejabat Daerah dan Media Massa yang menghasut, meracuni dan memfitnah, bagaikan penyakit kanser yang ingin melumpuhkan negeri-negeri Pakatan Rakyat.
Justeru itu pucuk pimpinan Pakatan Rakyat menghadapi berbagai masalah apabila mentadbirkan Kerajaan Negeri kerana apa yang disuruh atau ditegur tidak dilaksanakan. Ataupun pegawai-pegawai tinggi sengaja mengheret kaki supaya rakyat akan menuduh pemimpin Pakatan Rakyat yang tidak buat kerja. Sabotaj ini sudah lama dirasai.
Sabotaj ini memanglah dari luar dan juga dari dalam. Sabotaj dari luar lebih jelas dan pasti. Namun sabotaj dari dalamlah yang amat bahaya kerana mereka yang bersikap talam bermuka dua ini mampu mengongkong atau melumpuhkan gerak geri atau tindakan pucuk pimpinan. Enggan membantu, mengheret kaki, memutar belit maklumat, menjadi ‘spy’ hinggakan maklumat sulit sampai ke tangan musuh dalam sekelip mata.
Tindakan Pakatan Rakyat ?
Soalnya, apakah tindakan Kerajaan Negeri Selangor bagi menangani serangan yang bertubi-tubi ini sepertimana yang sudah berlaku di Negeri Perak? Adakah pemimpin Pakatan Rakyat masih bersifat sambil lewa dan meremehkan hasakan pihak musuh. Apakah tindakan yang harus dilakukan terhadap musuh dalaman, ‘musuh dalam selimut’ ini ?
Adun Kota Damansara mengambil peluang mengimbau kembali tentang penahananya di bawah ISA ‘Operasi Lalang’. Beliau berpeluang membaca sebuah buku oleh Sun Tze yang bertajuk “The Art of War” (seni peperangan). Pengalaman beliau semasa di Maktab Tentera DiRaja (RMC) sebanyak sedikit dapat membantunya memahami perihal taktik-taktik peperangan yang dikemukakan di dalam buku tersebut. Sun Tze, pada zaman itu, adalah seorang Jeneral yang terkemuka dan sungguh luarbiasa. Terkenal 3000 tahun dahulu. Beliau menggunakan konsep dialektik, iaitu mengimbangkan sifat-sifat yang bercanggah, bagi mematahkan musuhnya. Oleh kerana namanya tersebar luas, Raja se zamannya telah menjemput beliau dengan bertujuan untuk menguji kehandalan dan kebijaksanaannya.
Jeneral Sun Tze telah diarahkan untuk mengajar gundik-gundik Raja. Ini bukanlah suatu perkara yang mudah kerana gundik-gundik ini terlalu dimanjakan dan tidak mengikuti arahan kecuali perintah dari Raja. Gundik Raja yang tersayang telah diberi penghormatan untuk mengetuai pasukan gundik-gundik ini. Maka mereka dibawa untuk berbaris dan disaksikan oleh Raja ini. Arahan pun diberi untuk pusing ke kanan. Ada gundik-gundik berpusing ke kiri, ada yang berpusing ke kanan, berpusing ke belakang, mendongak ke langit mengikut sesuka hati masing-masing, dan disambut dengan gelak ketawa. Raja juga seronok dan turut ketawa. Maka Jeneral Sun Tze dengan tenang berkata kepada mereka, ‘Mungkin kau tak dengar apa yang aku perkatakan. Aku akan mengulanginya arahan’. Maka Jeneral Sun Tze memberi arahan dengan lebih kuat dan lebih lantang lagi untuk pusing kanan. Gundik-gundik ini enggan mengikuti arahannya. Masih ketawa dan bergurau senda sesama sendiri. Raja sudah ketawa besar. Maka Jeneral Sun Tze berkata lagi, ‘Sekarang awak boleh dengar, mungkin arahan saja yang tidak jelas’. Maka beliau memberi penjelasan secukupnya, mengajar mereka lagi sekali dan seterusnya memberi arahan untuk pusing ke kanan. Mereka masih tidak mengikuti arahannya. Jeneral berkata, ‘Engkau sudah dengar, engkau sudah faham tapi engkau sengaja tidak maha mengikuti arahan aku’. Maka dia pancung gundik Raja yang tersayang itu. Raja itu tidak berkesempatan untuk membuat apa-apa. Selepas itu semua gundik-gundik berbaris mengikuti arahan dengan tepat, teratur dan penuh kesungguhan. Begitulah. Adun Kota Damansara mengingati semua bahawa bukanlah tujuannya mengajar untuk memancung mereka yang degil, cuba sabotaj dan meremehkan arahan. Tetapi seperti pelawak TV, Nabil berkata, ‘sendiri mahu ingat’ atau ‘fikirlah sendiri’.
Tenaga Kerja dan Modal (Labour and Capital)
Perhatian sepenuhnya telah diberi terhadap hubungan ekonomi dengan pembangunan dan keuntungan. Pada hakikatnya, peningkatan keuntungan melibatkan dua faktor iaitu Tenaga Kerja dan Modal (Labour and Capital). Malangnya Bajet 2010 ini lebih menumpukan kepada pelaburan, infrastruktur, dan kelonggaran syarat-syarat yang menguntungkan golongan kapitalis dan koco-konco mereka. Tetapi tidak langsung menyebut atau membincangkan tentang peranan dan nasib golongan pekerja. Walhal mereka ini amat penting dalam dunia perindustrian. Bajet 2010 tidak menyebut langsung tentang penindasan yang berlaku di tempat kerja termasuklah keselamatan dan kebajikan mereka. Pekerja-pekerja juga adalah warga Selangor. Mereka merupakan tulang belakang kepada ekonomi Negara. Sebenarnya keuntungan yang lumayan ini berpunca dari penindasan terhadap golongan pekerja. Gaji rendah bermakna keuntungan berlipat ganda.
Penindasan dan Tekanan Jiwa
Jelas bahawa penindasan di tempat kerja membebankan rakyat dan menjunamkan mereka ke dalam kancah kemiskinan tegar. Masalah kemiskinan pula menimbulkan tekanan jiwa yang tidak terhingga pada diri dan seluruh keluarga. Tekanan jiwa, perasaan terasing atau alienation pula mendorongkan kepada pelbagai masalah sosial seperti membunuh diri, pengambilan dadah, anti-sosial, perpecahan dalam keluarga, amalan fanatik, masalah juvena, lintah-lintah masyarakat dan sebagainya.
Kapitalisma Membiakan Kronisma
Maka itu adun Kota Damansara, sebagai seorang Sosialis, makin tidak selesa apabila Menteri Besar sendiri mengatakan sistem kapitalisma Pakatan Rakyat sungguh berbeza dengan sistem kapitalisma Barisan Nasional. Mengikutnya pada kapitalisma Barisan Nasional, penswastaan adalah untuk kroni-kroni walhal kapitalisma Pakatan Rakyat, penswastaan adalah melalui tender. Sebenarnya sifat kapitalisma ini tidaklah semudah yang dibentangkan itu. Terlalu simplistik. Pada hakikatnya kapitalisma ini memang membiakkan sistem kroni. Beres. Maka pada analisis yang terakhir, kapitalisma ini berkiblat kepada penindasan dan mempertuhankan kepada keuntungan dan kuasa. Aktiviti-aktiviti yang lain pula berkisar kepada matlamat ini.
Peranan Jentera Pemerintah (The Role Of The State)
Pengalaman beliau yang menghampiri 40 tahun bersama perjuangan Peneroka Bandar (setinggan), pekerja kilang, pekerja perladangan, pekerja perkhidmatan dan sebagainya telah mendedahkan modus operandi golongan kapitalis iaitu bagaimana golongan kapitalis/majikan ini membujuk dan menguasai golongan pemimpin politik (kroni-kroni kapitalis) dengan wang ringgit dan seribu satu janji. Maka pemimpin politik yang sudah pun termakan budi, dengan rela hati menggemblingkan agensi-agensi kerajaan bagi membantu kapitalis-kapitalis dan kroni-kroni mereka. Maka Polis, Rela, Peguam, Kehakiman, Pejabat Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Media Massa dikerahkan untuk menghasak rakyat yang terpinggir dan tertindas.
Mudah-mudahan kritikan ini, teguran ini mendapat perhatian yang sewajarnya. Kerana apabila sesiapa saja berjinak-jinak dengan amalan kapitalis maka timbullah padah dan masalah yang membeban dan membelakangkan kepentingan masyarakat umum.
Sosial Demokrasi
Ada pula yang cuba menegaskan bahawa mereka sedang mengamalkan fahaman sosial demokrasi iaitu mengahwini sifat-sifat Sosialisma dan Kapitalisma. Sesungguhnya usaha ini diibaratkan mencampuri minyak dengan air. Bila digoncang kedua-duanya sekali maka sebatilah mereka. Apabila dibiarkan untuk seketika, maka air dan minyak terus terpisah, terasing, mengikut sempadan masing-masing. Jelas bahawa kedua-duanya kena digoncang selalu sekira benar-benar ingin mengekalkan kesebatian tersebut.
Namun kesungguhan untuk mengimbangkan hubungan ini memang sukar sekali kerana sudah dikuasai oleh hipokrasi dan jiwa kapitalis yang berlumba-lumba membolot harta dan kuasa. Tidak segan silu mematahkan segala tindakan yang mempertikaikan penindasan dan usaha-usaha yang memperkasakan rakyat.
Yang lebih bermakna lagi adalah, apabila manusia dan kemanusiaan dijadikan sebagai paksi di mana segala-gala berkisar kepadanya. Bukanlah segala-galanya berkisar kepada ekonomi dan keuntungan dan menjadikan rakyat sebagai alat percaturan untuk mendapatan sokongan dan keuntungan.
Survei Parti Sosialis Malaysia (PSM)
Parti Sosialis Malaysia (PSM) pernah membuat survei pada Ogos 2009 melibatkan 363 responden dari lima (5) negeri, Penang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor dalam lapan (8) sektor perniagaan seperti kilang, perkhidmatan, binaan, swasta, kerajaan, ladang dan pertanian. Ceritanya adalah sama. Impak krisis ekonomi terhadap mereka yang bekerja, memang dirasai dan memang membebankan golongan pekerja. Dari hasil survei ini, 75.8% respons menceritakan tentang pendapatan yang sudah berkurangan. Keluhan mereka tertumpu kepada kerja lebih masa, OT (‘overtime’) yang sudah tidak ada lagi khususnya semasa krisis ekonomi. Malangnya sebahagian besar mereka yang bekerja bergantung sangat kepada OT. Hidup dengan OT. Bila OT dipotong mereka bermasalah. Semuanya tergendala. Hutang pun berlipat ganda.
Peranan Lembaga Zakat dan Jabatan Kebajikan
Dalam keadaan yang tertekan sebegini rupa, diharapkan Lembaga Zakat dan Jabatan Kebajikan dapat membantu. Apa yang berlaku di Kota Damansara adalah proses untuk mendapatkan bantuan memakan masa berbulan bulan. Seringkali kali, apabila penduduk mendatangi Pejabat Adun mereka sudah pun mengalami masalah untuk beberapa bulan. Kelewatan ini membebankan lagi kehidupan mereka. Yang patut dapat, tak dapat. Yang pernah dapat yang masih memerlukannya, seperti keluarga buta, diputuskan bantuan. Ada astro tak dapat. Meskipun astro ini dihadiahkan kepada mereka. Inilah saja sumber maklumat dan hiburan bagi mereka sekeluarga. Jika ada kereta buruk bekas suami atau arwah suami, maka bantuan tidak dapat.
Pegawai-pegawai pula bersifat angkuh, menghilangkan diri, janji-janji yang tidak kesampaian dan kerja sambil lewa. Ini bermakna rakyat kena sembah pegawai-pegawai ini sebelum boleh dapat sesuatu walaupun bantuan ini adalah hak yang dijanjikan.
Mantan Mufti Perlis Dr Asri, pernah menegur Lembaga Zakat dalam penulisannya. Mengikut beliau, Lembaga Zakat pandai dan cekap mengutip zakat tetapi tidak pandai mengagihkannya. Kalaulah lebih RM 200 juta yang diterima pada setiap tahun, diagihkan dengan betul, mungkin tidak akan ada orang miskin di Negeri Selangor ini. Lagi pun penggunaan dan pengagihan wang zakat haruslah dihabiskan pada tahun yang sama.
Mengikut survei kami juga, lima puluh peratus (50%) respons mendedahkan bahawa hutang mereka makin meningkat. Ini bermakna dalam keadaan inflasi, barangan keperluan asas yang harus di di kawal tidak dikawal. Mereka terpaksa meminjam wang dari ah long dan ceti untuk menampung kehidupan sekeluarga. Kerana sumber bantuan yang lain termasuk kemudahan bank, tertutup bagi mereka. Mereka tetap mengisi borang permohonan namun habis begitu saja. Lima puluh Sembilan (59%) respons mengatakan tidak dapat membayar balik pinjaman kereta dan bayaran rumah sewa. Rumah sendiri kena lelong tanpa pengetahuan mereka. Mungkin sudah ada sindiket tentang penjualan ini.
Hubungan Tiga Penjuru
Dalam keadaan begini, lebih ramai lagi yang tidak mampu membayar tambang kenderaan untuk menghantar anak ke sekolah atau tuisyen dan untuk pergi ke klinik dan hospital. Maka berlukulah lingkaran tiga penjuru yang melumpuhkan individu dan keluarga iaitu hubungan di antara Kesihatan dan Pemakanan yang menjejaskan Produktiviti. Produktiviti yang rendah menjuruskan kepada Kemiskinan tegar dan masalah sosial. Kemiskinan pula memburukkan lagi keadaan Kesihatan dan Pemakanan. Badan yang lemah dan rentan kepada penyakit, tidak produktif dan akan dibuang kerja.
Perkhidmatan dan layanan Hospital Kerajaan Sg Buloh yang berdekatan dengan Kota Damansara pula tidak membantu. Ada pesakit terpaksa menunggu 3 – 4 jam untuk mendapat rawatan di ruang kecemasan. Adun Kota Damansara sudah tiga kali mengunjungi Hospital ini untuk memastikan kesahihan aduan penduduk. Alasan yang diterima adalah doctor tidak ada di bilik kecemasan ataupun Hospital ini tidak cukup doctor. Doktor lain yang ada di situ tidak mahu membantu kerana bahagian kecemasan tidak dalam bidang tugas mereka. Begitulah penderitaan rakyat yang miskin dan yang terpinggir dari arus pembangunan.
Penutup
Jelas bahawa usaha untuk memberi pertolongan kepada golongan yang memerlukan bantuan, masih tidak sempurna lagi. Kerajaan Negeri pula haruslah memulakan rancangan Merakyatkan Ekonomi Selangor dengan bertindak dengan lebih agresif lagi dan memulakan program, melalui anak-anak syarikat kepunyaannya (government Linked Companies) menjadi contoh bagi menawarkan gaji mimima sebanyak RM 1500, melibatkan kesatuan dalam usaha mengembangkan syarikat, menawarkan saham, memberi insuren, menyediakan tempat asuhan anak pekerja dan segala kemudahan yang pernah dijanjikan. Adun Kota Damansara bersama adun-adun lain pernah mengutarakan perkara ini dalam usul tentang tanggung jawab sosial oleh syarikat-syarikat (Corporate Social Responsibility).

No comments: