Friday, August 28, 2009

ISA Faktor Kemunduran Demokrasi Negara


ISA Faktor Kemunduran Demokrasi Negara
Sejak akhir-akhir ini, sudah ada suara-suara sumbang penguasa dan pemimpin negara yang menyatakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih relevan dalam era globalisasi dan demokrasi moden.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mendakwa ISA sebagai sangat efektif dan masih diperlukan dalam negara yang mempunyai pelbagai bangsa. Beliau turut dilaporkan berkata ISA tidak mempunyai kaitan dalam bidang politik dan sesiapa sahaja boleh dikenakan akta itu jika disabitkan kesalahan.
Menurut beliau lagi, ISA bukan bertujuan menganiaya rakyat tetapi digunakan untuk mewujudkan keharmonian hidup dalam masyarakat, selain digunapakai di beberapa negara Asia dan Amerika Syarikat.
Juga sudah mula timbul satu kumpulan iaitu Pewaris yang menyokong pengekalan ISA untuk membela hak Melayu dan mencegah mereka yang mencetuskan isu perkauman.
Kemudian, muncul pula bekas tahanan ISA yang yakin bahawa sifat ‘pemulihan’ ISA lebih ringan di banding hukuman di bawah undang-undang lain. Mereka percaya mereka telah melakukan kesilapan yang besar dan diberi peluang kembali ke pangkal jalan.
Saya sebenarnya sudah jemu dengan hujah dan alasan begini yang dikemukakan tanpa sebarang fakta sebagai sandaran. Namun kejemuan saya itu tidak menghentikan saya daripada berhujah. Bagi saya, sesiapa pun boleh turut berkata apa yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara tersebut. Di manakah buktinya? Apakah sandaran yang menyokong hujah ISA sebagai sangat efektif? Bagaimana yang dikatakan ISA tidak menganiaya rakyat? Bahagian mana ISA yang tidak menghalang kebebasan dan hak rakyat? Apakah bukti tindakan berani yang mengancam keselamatan negara?
Saya boleh senaraikan beratus-ratus lagi soalan yang sebenarnya tidak pernah dijawab oleh Kerajaan melalui surat dan memorandum yang dihantar oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI). Jika pun dijawab, akan diakhiri dengan kata pemutus...demi keselamatan negara. Demi menjaga kepentingan dan keselamatan rakyat yang terancam.
Saya ingin mengemukakan hujah dan bukti mengapa ISA tidak relevan, mengapa ISA sangat tidak efektif dan tidak diperlukan, mengapa ISA ada kaitan dengan politik dan bagaimana ISA telah menganiaya rakyat serta menghakis hak kebebasan rakyat.
Apakah prinsip ISA? ISA beriman kepada penahanan tanpa bicara, tanpa pembelaan dan tanpa semakan mahkamah (kecuali atas sebab teknikal). Ini bermakna ISA merupakan undang-undang ’sehala’ mengikut selera dan citarasa penguatkuasanya. Ini bermakna seseorang boleh ditahan tanpa perlu dibuktikan kesalahannya, tanpa boleh pesalah membela diri dan tanpa boleh disemak oleh mahkamah.
Ringkasnya, hari ini saudara boleh ditahan di bawah ISA kerana disyaki ’mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam’ walaupun saudara hanyalah seorang penjual sayur di pasar. Saudara tidak boleh membela diri di mahkamah di atas tuduhan itu dan saudara ditahan selama 60 hari di bawah Seksyen 73 dan kemudian boleh dilanjutkan penahanan sehingga 2 tahun di bawah Seksyen 8 di Kem Tahanan Kamunting (Kemta) sekiranya Menteri Dalam Negeri berpuashati penahanan lanjutan adalah wajar.
Soalnya, siapa semak polis? Siapa semak Menteri Dalam Negeri? Lembaga Penasihat yang dilantik oleh Kerajaan sendiri yang fungsinya hanya menasihat tetapi tidak ada kuasa membebaskan? Writ habeas corpus yang hanya boleh mempersoalkan aspek teknikal penahanan? Bukankah mereka ini semua manusia yang tidak lekang dari salah dan silap?
Kenapa kita di Malaysia mengamalkan sistem pengasingan kuasa antara Eksekutif, Kehakiman dan Legislatif? Bukankah untuk memastikan keadilan dan menyekat pemusatan kuasa yang melampau?
ISA tidak relevan di atas prinsip ini kerana ISA membenarkan seorang Menteri bertindak sebagai pendakwa, juri dan hakim tanpa langsung ruang pembelaan untuk pesalah! Apakah namanya undang-undang jika tonggak keadilan dihumbankan? Apakah relevannya undang-undang hanya kerana ia juga diamalkan di beberapa negara Asia dan Amerika Syarikat sedangkan prinsip keadilan dipinggirkan?
Sebagai buktinya, penjual sayur yang saya sebutkan tadi benar-benar telah ditahan ISA di bawah tuduhan sebagai anggota JI. Beliau dituduh terlibat dengan kegiatan yang boleh mengancam keselamatan negara tetapi sehingga ke hari ini tidak ada sesiapa pun yang tahu apakah kesalahan tersebut termasuk beliau sendiri.
Begitulah juga dengan ramai lagi yang ditahan atas dakwaan JI. Beratus yang ditahan tanpa apa-apa bukti. Ramai yang telah dibebaskan setelah bertahun-tahun merengkuk di Kemta, setelah isteri dan anak-anak teraniaya dan terpaksa menempuh kehidupan yang amat menyukarkan.
Sekarang masih ada yang ditahan sehingga masuk tahun yang ke-7! Apakah kesalahan mereka yang begitu berat sehingga mereka terpaksa melalui tempoh pengurungan yang begitu lama walaupun mereka bukan penjenayah dan bukan banduan?
Tetapi bagi polis dan kerajaan mudah sahaja. Plot dan jalan cerita boleh direka umpama sebuah filem atau drama. Kaitkan orang ini orang itu dengan rangkaian ini dan rangkaian itu. Jalankan propaganda. Labelkan bagi nampak ’real’. Dan ’walah’...terbuktilah orang itu bersalah dan kerajaan telah berjaya mencegah satu ancaman daripada berlaku.
Kata mereka, segala siasatan rapi telah dilakukan dan mereka mempunyai cukup bukti. Cumanya semua hasil siasatan dan maklumat bukti yang sensitif tidak boleh didedahkan kerana boleh membuatkan orang awam jadi takut dan cemas.
Tambahan pula, kata mereka, tidak ada peruntukan atau keperluan mengemukakan apa-apa maklumat atau bukti penahanan menurut undang-undang ISA. Mereka boleh berselindung di sebalik Seksyen 8 dan Seksyen 16 ISA walaupun sebenarnya tiada bukti sedikit pun.
Pertuduhan palsu dan fitnah pembohongan dijadikan alasan untuk menghalalkan penahanan, walaupun butir-butir pertuduhan dan bukti tidak pernah didedahkan. Hak asasi tertuduh dihakis dan dirampas begitu sahaja kerana adanya Seksyen 16. Apakah tidak mungkin seseorang dituduh dan ditahan secara salah dengan keadaan demikian? Apakah tidak mungkin seseorang boleh menjadi mangsa survival politik lawannya? Apakah juga tidak mungkin seseorang itu boleh senang-senang dikambinghitamkan kerana agenda besar yang tiada kena mengena dengannya?
Cukup kemas, licik dan ketat ISA ini. Tahniah kepada peguam dan pemimpin negara yang berusaha keras sehingga begitu mantapnya ISA! Ya, tidak perlu jawab sekarang. Tidak perlu kemukakan bukti sekarang. Tidak perlu jelaskan kepada isteri, anak-anak dan ahli keluarga. Jawab sahajalah di hadapan Tuhan nanti!
Sebagai satu lagi bukti, 10 orang aktivis reformasi telah ditahan ISA pada tahun 2001. Mereka dituduh merancang untuk menggulingkan kerajaan secara kekerasan dengan menggunakan bahan letupan, molotov cocktail dan pelancar roket! Sehingga ke hari ini, bukti tersebut tidak pernah dikemukakan dan aktivis tersebut sudah bebas dan tidak langsung mengancam mahu pun memudaratkan keselamatan negara. Malah ada di antara mereka yang telah menfailkan saman ke atas Polis dan Kerajaan kerana mencabul hak mereka dan merampas kebebasan mereka sebagai warganegara Malaysia.
Bagaimana pula dengan penahanan terhadap Raja Petra Kamaruddin, Teresa Kok dan Wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng? Apakah kesalahan mereka sehingga terpaksa ditahan di bawah ISA? Adakah kerana mereka mengancam keselamatan negara atau mengancam kepentingan pemimpin negara?
Dalam kes Tan Hoon Cheng, beliau ditahan untuk menyelamatkan beliau daripada ancaman. Begitulah kata Menteri Dalam Negeri. Sungguh lucu sehingga sesetengah orang menobatkan ia sebagai lawak tahunan terbaik! Dalam kes RPK, beliau juga berhadapan dengan pelbagai lagi dakwaan di bawah Akta lain selain daripada ISA.
Juga bagaimana pula dengan penahanan 5 orang HINDRAF? Apakah tindakan mereka menyuarakan pandangan kumpulan kaum India merupakan satu kesalahan? Untuk menghalalkan penggunaan ISA, mereka dikaitkan pula dengan pengganas LTTE (Liberation Tigers of Tamil Eelam) di Sri Lanka. Buktinya apa? Oh, kita tidak boleh dedahkan kerana maklumatnya sensitif dan boleh mengancam ketenteraman awam. Begitulah jawapan lazim diberikan oleh penguasa.
Jika banyak cerita, mereka boleh gunakan Seksyen 16 tadi. Banyak lagi cerita, mereka boleh gunakan Seksyen 28 untuk menyekat penyebaran berita dan sumber maklumat alternatif berkenaan sesuatu isu.
Perkara ini di lakukan di atas dakwaan menyebarkan khabar angin atau menyebarkan laporan tidak benar yang mengancam keselamatan dan ketenteraman awam.
Buat lagi kecoh, maka boleh gunakan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan untuk halang individu daripada memegang jawatan dalam pertubuhan, atau dengan kata lain haramkan pertubuhan itu. Tak memadai juga, maka ada Seksyen 53 ISA untuk kuasa kepada menteri merampas tanah dan bangunan.
Antara yang paling zalim dan kejam ialah mengancam dan menakut-nakutkan rakyat dengan peruntukan seksyen 73 yang jelas memberikan kuasa yang luas kepada polis untuk membuat penangkapan terhadap individu yang dipercayai telah, akan atau boleh memudaratkan keselamatan negara untuk tempoh maksimum 60 hari dan kemudian boleh dilanjutkan untuk selama 2 tahun di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri sekiranya beliau berpuashati bahawa pesalah memerlukan ’pemulihan’. Ini mengikut Seksyen 8 ISA. Syornya datang daripada mana? Daripada pihak polis juga!
Tidak cukup dengan itu, peruntukan dalam seksyen 74 pula dengan jelas membolehkan pihak polis menggunakan apa juga jenis senjata yang boleh membawa maut dalam menguatkuasakan penangkapan di bawah seksyen 73 (1) dan (2).
Ada banyak lagi peruntukan dalam ISA yang hampir semuanya bersifat menghakis dan merampas hak asasi manusia. Bercanggah dengan ruh perlembagaan persekutuan. Lebih malang ia bukan sahaja memberi kesan kepada tertuduh tetapi turut menyeret dan mencabuli hak ahli keluarga dan masyarakat. Malah tidak melampau jika saya katakan ISA adalah antara faktor utama kemunduran demokrasi negara.
Apakah ini semua tidak ada kaitan dengan bidang politik? Memang ada kaitan! Penahanan ISA bermotifkan politik. Penahanan JI dan DI (Darul Islam) serta penyambungan perintah tahanan terhadap mereka adalah bagi meyakinkan Amerika bahawa negara ini berjalan seiring dengan dasar Amerika memerangi terrorisme antarabangsa.
Penahanan aktivis reformasi bermotif politik kerana tujuannya bagi menghalang mereka membangkitkan semula gelombang Reformasi menentang kerajaan UMNO-BN. Penahanan Raja Petra Kamaruddin, Teresa Kok dan Tan Hoon Cheng juga bermotif politik demi untuk melindungi masalah dalaman parti UMNO yang telah menular keluar.
Jika soal keselamatan negara yang dijadikan alasan, ia sama sekali tidak memberi lesen terbuka kepada Kerajaan untuk menafikan hak asasi manusia dan bertindak kejam. Kita juga mahukan keselamatan negara dilindungi tetapi pada masa yang sama keselamatan rakyat perlu dijamin. Apakah kita hidup dalam dunia yang canggih hari ini yang tidak membolehkan siasatan rapi dilakukan? Apakah pihak polis melalui berpuluh-puluh tahun pengalaman sebagai institusi keselamatan dan keamanan negara tidak membolehkannya membuat siasatan dan memperolehi bukti untuk pendakwaan?
Benar ISA satu undang-undang sah tetapi undang-undang sah yang disalahguna secara sistematik sejak berpuluh-puluh tahun lamanya tidak boleh lagi ditafsir sebagai bermasalah kerana disalahguna. Undang-undang itu sendiri dengan segala peruntukan dan ruang kuasanya yang terlalu luas tanpa semakan kehakiman merupakan undang-undang salah dan zalim! Dan oleh itu perlu dimansuhkan sama sekali.
Berpuluh-puluh laporan sebenarnya telah dibuat berhubung penganiayaan dan penyeksaan yang dilakukan di bawah ISA. Penganiayaan yang secara langsung ke atas tahanan atau ke atas ahli keluarga.
Terdapat laporan yang dihantar kepada Suhakam, kepada Suruhanjaya Di Raja, kepada Kementerian Dalam Negeri dan kepada pihak polis. Semuanya telah didokumentasikan samada dalam bentuk laporan tahunan, buku, memorandum dan kenyataan akhbar.
Laporan-laporan tersebut ada yang dibuat oleh GMI, ada yang dibuat oleh bekas tahanan, ada yang dibuat oleh ahli keluarga tahanan dan ada yang dibuat oleh tahanan sendiri! ISA benar-benar menganiaya rakyat. Tak percaya?
Cuba lihat contoh-contoh kes berikut:
1. Tahanan dibelasah, dipukul, dihina dan diseksa seperti binatang seperti kes Malek Hussin dan kes tahanan JI. Kes-kes ini sudah dirakamkan samada dalam rekod mahkamah atau dalam laporan polis dan laporan Suhakam. Menurut Malek, beliau ditahan di tempat yang tidak diketahui tanpa pengetahuan isteri dan keluarganya. Beliau ditelanjangkan dan dibelasah. Dipukul sebanyak 63 kali. Jatuh pengsan sebanyak 5 kali. Dicurah air sejuk dalam keadaan hawa dingin yang kuat. Dipaksa minum air kencing dan diugut dengan suntikan virus HIV.
2. Tahanan dibelasah separuh mati dengan mata yang lebam iaitu kes Anwar Ibrahim. Laporan Suruhanjaya Diraja mengesahkan ’event of the century’ ini berlaku ketika Anwar Ibrahim ditahan ISA dan pembelasah utamanya ialah Tan Sri Rahim Noor, Ketua Polis Negara pada ketika itu.
3. Tahanan dibelasah hingga separuh lumpuh dan dimasukkan ke wad Hospital Tanjung Rambutan iaitu kes bekas tahanan ISA, Sanjeev Kumar. Kesnya telah dilaporkan kepada Suhakam dan beberapa laporan polis telah dibuat. Beliau dituduh sebagai Agen Perisik Asing tetapi tidak pernah dibuktikan. Jika benar ada kewujudannya, mengapa sembunyikan daripada pengetahuan rakyat? Bukankah rakyat berhak untuk tahu demi keselamatan mereka?
4. Rumahtangga tahanan berpecah belah hinggakan isteri menuntut cerai. Terdapat empat orang tahanan ISA yang telah bercerai dengan isteri masing-masing ketika mereka masih dalam tahanan. Itu yang diketahui.
5. Anak-anak tahanan mengalami trauma hingga mengalami sakit jiwa dan dimasukkan ke Wad Psikiatri akibat tidak mendapat bimbingan dan kasih sayang daripada seorang bapa dalam jangkamasa yang panjang.
6. Terkini, tahanan ISA bernama Mat Sah Mohd Satray tidak dibebaskan dan ditahan sehingga masuk tahun ke-7 hanya kerana isteri beliau berkempen menentang ISA dan berjuang membebaskan beliau dan semua tahanan lain. Ramai lagi tahanan dengan tuduhan yang sama dengan Mat Sah telah dibebaskan.
Cuba kita perhatikan apakah kes-kes di atas bukan disebabkan oleh ISA?
Sebab itulah saya tidak terkejut dengan pengakuan sesetengah bekas Tahanan ISA yang mengatakan bahawa kaedah pemulihan ISA lebih ringan berbanding dengan undang-undang lain. Dengan penyeksaan fizikal dan mental yang mereka terpaksa lalui, dengan ‘brainwash’ yang berterusan, dengan ancaman dan ugutan yang menakutkan semasa dan selepas penahanan, saya tidak hairan jika mereka mengaku melakukan kesilapan besar dan ISA memberi peluang kepada mereka untuk kembali ke pangkal jalan. Ancaman bukan sahaja kepada diri mereka tetapi juga keluarga dan rakan.
Jika kita berpeluang membaca penulisan bekas tahanan ISA seperti Syed Husin Ali, Koh Swee Yong, Saari Sungib, Ustaz Badrulamin Baharon dan Raja Petra Kamaruddin, kita akan faham bahawa pengakuan bekas tahanan menyokong ISA dibuat setelah mereka melalui pengalaman hitam, disental dan dibasuh berkali-kali sehingga mereka serik. Dalam keadaan begitu, apa sahaja pengakuan akan dibuat demi melepaskan diri. Malah setelah dibebaskan, masih ramai yang mungkin tanpa sedar ‘terpenjara’ dengan hubungan berterusan dengan SB dan tidak menjalani kehidupan seperti biasa. Mungkin petikan kata-kata Malek Hussin dalam sebuah wawancara ini boleh menggambarkannya:
“Saya perlu melaporkan kepada mereka dan malah mereka mengugut bahawa saya boleh ditangkap semula, saya mesti bekerjasama dengan mereka dan psikologinya ialah mereka mempunyai kuasa untuk menangkap saya semula. Jadi, wujud rasa takut yang saya akan ditangkap semula. Saya mengambil masa yang lama untuk mengembalikan kekuatan dan keberanian untuk membuat laporan polis dan saya membuat keputusan tersebut pada bulan Mac (1999)”
Di manakah letaknya ISA sebagai penyebab keharmonian masyarakat?
Keharmonian masyarakat bukan dicapai dengan sebab ISA. Bukan dengan cara ugutan dan ancaman. Bukan dengan penganiayaan dan paksaan. Keharmonian masyarakat boleh dicapai dengan saling hormat menghormati antara satu sama lain, saling mengutamakan prinsip keadilan tidak kira kaum atau agama dan saling menghormati hak individu serta masyarakat.
Kita harus ambil iktibar daripada firman Allah dalam Surah Al-Maidah, ayat 8 ini,
“Hai orang-orang yang beriman hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi dengan adil dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa dan bertakwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan”
Sebenarnya jika dilihat kepada hujah dan fakta, amat sukar untuk mempertahankan sesuatu yang usang seperti ISA. Mempertahankannya bererti membenarkan ruang untuk kezaliman terus berlaku. Mempertahankannya bererti kita tidak yakin dengan sistem keadilan dan demokrasi. Benar, sistem keadilan dan demokrasi itu pun ada kelemahannya namun ruang semak dan imbangan (check and balance) tetap wujud. Ia jauh lebih baik daripada kita memberikan kuasa yang terlalu luas dan wewenangan kepada sekumpulan kecil yang kita harap bijaksana belaka.
ISA tidak relevan, sangat tidak efektif dan tidak diperlukan. ISA bermotif politik. ISA menganiaya rakyat dan menghakis hak kebebasan rakyat. Oleh itu, tiada pilihan lain selain daripada MANSUHKAN ISA!
Syed Ibrahim Syed Noh
Pengerusi
Gerakan Mansuhkan ISA (GMI)

No comments: