Friday, December 12, 2008

Tindakan Polis Pulau Pinang yang Memalukan Sambutan Pengisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia ke-60

13/10/08
Tindakan Polis Pulau Pinang yang Memalukan Sambutan Pengisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia ke-60
Sementara Hari Hak Asasi disambut di serata dunia sempena pengisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia yang menjelang tahun ke-60, tindakan pihak polis di Pulau Pinang yang masih menggunakan akta menahan tanpa bicara amat memalukan negara kita.
Pada 12/10/08, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Salleh Mat Rasid berkata, dalam kes kecurian mikrocip yang berlaku pada 2006, polis tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mendakwa mereka di mahkamah, tetapi mempunyai alasan untuk menahan mereka selama dua tahun di Simpang Renggam dengan menggunakan Ordinan Darurat. Suaram Penang berasa amat tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut.
Suaram menyeru pihak polis Pulau Pinang mengumumkan sama ada lapan orang yang terbabit masih ditahan atau tidak, dan mengumumkan senarai nama tahanan dalam tempoh dua minggu. Jika lapan orang tersebut masih ditahan, Suaram menyeru polis membebaskan mereka dengan serta-merta atau mendakwa mereka di mahkamah dengan segara.
Menurut artikel 11(1) dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia, seseorang yang dituduh malakukan kes jenayah haruslah dianggap tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah melalui perbicaraan terbuka di mana ia mempunyai semua jaminan yang diperlukan bagi pembelaan tersebut. Maka, kenyataan Salleh yang berbunyi “tidak ada bukti untuk mendakwa, tetapi ada alasan untuk menahan” mencerminkan bahawa Malaysia ialah negara yang tidak memberi perlindungan hak asasi manusia. Seseorang yang belum dibuktikan bersalah di mahkamah seharusnya dianggap tidak bersalah, namun pihak polis telah menggunakan alasan bahawa tidak mempunyai bukti yang cukup untuk mendakwa mereka tetapi sebaliknya menahan mereka. Tindakan ini telah melanggar artikel 11(1) dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia.
Di Malaysia, terdapat beberapa akta yang memberi kuasa kepada polis untuk menahan tanpa bicara, antaranya termasuk Akta Keselamatan dalam Negeri, Ordinan Darurat dan Akta Dadah Berbahaya. Artikel 10 dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sedunia menyatakan, semua orang mempunyai hak yang sama untuk menuntut agar dibicara secara adil dan terbuka dalam mahkamah yang bebas dan tidak memihak, untuk menentukan hak dan kewajipannya atau membicarakan sebarang dakwaan yang ditujukan kepadanya.
Segala tindakan menahan tanpa bicara adalah melanggar hak asasi manusia, Suaram ingin memuji Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam menyatakan pendiriannya yang tidak menyokong tindakan menahan tanpa bicara atas mempertahankan hak asasi manusia.

No comments: