Saturday, February 25, 2006

Poster amaran untuk memperingati orang ramai tentang kewujudan "Perhentian Bas Hantu"


"Sudah lama kami tunggu bas di sini, rupa-rupanya ini Perhentian Hantu!"


"Oi! kami menuntut perkhidmatan bas awam yang sempurna lagi selesa!"

"Sini bukan tempat menunggu bas, nanti jadi macam tengkorak dalam poster ni!"

"Ini amaran untuk mereka yang tidak tahu tentang hakikat wujudnya Perhentian Hantu!"

"Oi! Bas mana? Nak rakyat jadi tengkorak ke?"

"Sudah puas kami tunggu bas yang sempurna untuk ambil kami!"

"Perkhidmatan bas awam adalah hak asasi untuk semua. Kerajaan jangan mencuci tangan dalam hal ini!"

"Tolong baca betul-betul! Nanti anda pula jadi macam tengkorak ni!"


Jangan Menunggu di PERHENTIAN BAS HANTU!

26 Feb 06, P. Pinang

Pagi ini hujan renyai-renyai turun di Pulau Pinang, sebuah perhentian bas yang serba baru yang terletak di Jalan Kebun Bunga didatangi oleh sekumpulan orang. Adakah mereka menunggu bas? Tetapi bas langsung tidak datang. Rupa-rupanya ini adalah salah satu lagi perhentian bas hantu!

Istilah “Perhentian bas HANTU”, membawa maksud perhentian bas yang mana wujudnya struktur perhentian bas, tetapi tiada perkhidmatan bas yang melalui perhentian bas tersebut. Tidak hairan jika anda menjadi tengkorak jika anda menunggu bas di perhentian bas hantu sebegini. Tiada papan tanda yang memberitahu tentang laluan bas yang melalui perhentian bas hantu (sebenarnya semua perhentian bas di Pulau Pinang begini jua), jadi tidak mungkin juga anda tahu masa bila bas akan sampai!

Satu sidang akhbar telah diadakan oleh Rakyat untuk Pengangkutan Awam (dalam bahasa Inggeris ialah Citizens for Public Transport, dengan nama singkatan CEPAT), sebuah gabungan yang terdiri daripada lebih 24 organisasi di Pulau Pinang untuk menuntut perkhidmatan pengangkutan yang lebih baik di Pulau Pinang. Gabungan CEPAT telah dilancarkan pada bulan Disember lepas.

Perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang telah sampai ke tahap yang amat menyedihkan dan memedihkan. Tiada tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri untuk memperbaiki keadaan, walaupun janji demi janji dilempar keluar daripada mulut politikus-politikus.

Perkhidmatan bas di Pulau Pinang makin hari makin bertambah teruk, dengan keadaan bas yang kotor, buruk, amalan muatan berlebihan yang sangat berbahaya, tidak mengikut jadual waktu perjalanan (sebenarnya seolah-olah tiada waktu perjalanan), pemanduan aksi ngeri yang membahayakan nyawa penumpang, dan sebagainya sehingga tidak kehabisan…

Golongan yang terpaksa menanggung akibat daripada perkhidmatan bas yang teruk ini, adalah masyarakat miskin, warga tua dan yang kurang upaya. Kalau mereka berjalan kaki pun menghadapi risiko tinggi dengan kewujudan bilangan kereta persendirian yang semakin banyak sehingga dapat menenggelamkan seluruh Pulau Pinang!

CEPAT mengadakan sidang pada hari ini untuk menyuarakan keprihatinan warga Pulau Pinang tentang situasi perkhidmatan bas pada masa kini. Poster-poster yang memberitahu rakyat tentang kewujudan perhentian bas hantu akan ditampal di perhentian-perhentian bas hantu, sebagai nasihat kepada orang ramai supaya jangan membuang masa untuk menunggu bas di tempat-tempat tersebut sehingga menjadi tengkorak!

Mengikut tinjauan CEPAT, terdapat hamper 20 laluan bas di Pulau Pinang tidak lagi mempunyai perkhidmatan bas. Inilah apa yang disebut “laluan hantu”. Contoh laluan hantu termasuklah laluan Nombor 4 (Jeti ke Greenlane melalui Teh Ewe Lim), Nombor 7 (Jeti ke Kebun Bunga), Nombor 8 (Ayer Itam ke Stesen keretapi Bukit Bendera), Nombor 11 (Jeti ke Taman Tun Sardon), Nombor 12 (Jelutong ke Ayer Itam), Nombor 28 (Komtar ke Kulim), Nombor 13 (Jelutong ke Bagan Jermal) dan sebagainya.

Orang ramai juga digalakkan untuk berhubung dengan CEPAT jika terserempak dengan mana-mana perhentian bas yang telah bertukar menjadi Perhentian Hantu, supaya CEPAT dapat menampal poster amaran di situ. CEPAT juga menyeru supaya pihak berkuasa negeri memberikan senarai perhentian bas kepadanya. Takkan senarai perhentian bas yang masih berfungsi atau menjadi Perhentian Hantu itu juga merupakan Sulit di bawah OSA?

Rakyat tidak mahu perhentian bas hantu! Perkhidmatan Pengangkutan Awam merupakan hak asasi untuk semua orang, dan ia merupakan tanggungjawab sesebuah kerajaan yang berjiwa rakyat dan penyayang untuk memberikan perkhidmatan bas awam yang selesa dan efisien dengan tambang yang murah.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:
Citizens for Public Transport (CEPAT)

c/o Sahabat Alam Malaysia, No. 9, Solok Emas, 11600, Penang
Tel: 04-6596630 Fax: 04-6596931
E-mail: sam_inquiry@yahoo.com

No comments: