Monday, February 13, 2006

Gambar: Berkumpul di Foyer Hospital Pulau Pinang


13 Februari 2006, Pulau Pinang

Awal pagi lagi, Hospital Pulau Pinang “dikejutkan” dengan kehadiran bilangan polis yang lebih ramai daripada hari lain… Rupa-rupa angota-anggota polis yang memakai lencana “Saya Anti-Rasuah” ini sedang menunggu untuk mengalu-alukan kehadiran anggota-anggota Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan.

Pagi ini, Gabungan Membantah Penswastaan Perkhidmatan Kesihatan (GMPPK) telah mengadakan aktiviti mengedar risalah bertajuk “Jangan Musnahkan Kerajaan” di beberapa hospital utama di seluruh Semenanjung kecuali negeri Perlis dan Terengganu. Antara hospital yang dilawati oleh ahli-ahli GMPPK dan dijadikan sasaran untuk pengedaran risalah termasuklah hospital-hospital besar di Kuala Lumpur, Johor Bahru, Ipoh, Kajang, Kelang, Seremban, Kuantan, Kota Bahru dan sebagainya.

Hospital Pulau Pinang turut menjadi salah satu tempat untuk pengedaran risalah GMPPK. Pada lebih kurang pukul 9.30 pagi, ahli-ahli GMPPK bergilir-gilir sampai di Foyer Blok B, Hospital Pulau Pinang. Lebih kurang 35 orang daripada beberapa kumpulan masyarakat telah mengambil bahagian dalam aktiviti hari ini. Antara kumpulan yang terlibat dalam pengedaran risalah hari ini termasuklah Suaram, Aliran, Penang Office for Human Development(POHD), Lighthouse, Pusat Kesedaran Wanita, Barisan Progresif Pelajar (SPF), Parti Keadilan Rakyat dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Anggota-anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) dari Sungai Siput yang bertolak sejak awal pagi, juga turut menyertai aktiviti pengedran risalah ini di Pulau Pinang.

Latar Belakang Isu

Risalah “Jangan Musnahkan Hospital Kerajaan” merupakan satu tindakan GMPPK untuk merespon pada kenyataan Datuk Ismail Merican, Ketua Pengarah Kesihatan pada 8 Jan 2006, yang mengatakan bahawa Doktor Pakar di Hospital Kerajaan akan dibenarkan merawat pesakit swasta selepas waktu pejabat.Skim ini akan dimulakan di Hospital Putrajaya dan Selayang pada bulan Mac 2006, dan selepas 6 bulan dilaksanakan di semua Hospital Kerajaan yang ada pakar. Kononnya, tujuan Kerajaan adalah untuk memberhentikan penghijrahan doktor pakar ke sektor swasta.

Masalahnya ialah beban kerja Doktor Pakar di Hospital Kerajaan sudahpun terlalu berat, sebelum mengadakan sessi swasta. Di Malysia, sekarang ini hanya 30% doctor pakar berkhidmat di hospital kerajaan, tetapi mereka terpaksa menjaga 70% pesakit di Malaysia yang mendapat rawatan di hospital kerajaan, ,kerana ramai rakyat Malaysia tidak mampu membayar caj rawatan Swasta. Doktor pakar di sektor awam juga bertanggungjawab mendidik doktor pelatih, jururawat, dan pakar pelatih. Mereka juga ditugaskan dengan kerja penyelarasan perancangan dan pemantauan prestasi hospital kerajaan.

Jika cadangan untuk membiarkan sessi swasta dimulakan di hospital kerajaan, walaupun satu atau dua, kemungkinan untuk system kesihatan Malaysia dihakis dengan selanjutnya akan bertambah besar.

Kesan yang dapat dijangkakan daripada pelaksanaan sessi swasta amat jelas. Kualiti rawatan yang diterima oleh 70% rakyat Malaysia akan merosot. doktor pakar semua akan memohon transfer ke Bandar besar di mana ada lebih orang kaya yang boleh datang ke sessi swasta selepas waktu pejabat! Maka penduduk di bandar-bandar kecil atapun pekan-pekan akan terus diabaikan. Disebabkan doctor pakar tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengajar dan memantau doktor-doktor pelatih, maka kualiti latihan yang diterima oleh para doktor pelatih akan turut terjejas.

Kesihatan itu bukan untuk diniagakan

Kesihatan ialah hak asasi rakyat, dan adalah menjadi tanggunjawab kerajaan untuk memastikan semua rakyat menikmati perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi. Oleh itu, GMPPK mendesak kerajaan supaya membatalkan cadangan mewujudkan klinik swasta di hospital kerajaan. GMPPK juga mengesyorkan bahawa satu kajian terhadap kesan skim klinik swasta di Hospital Universiti U.M. dan U.K.M dijalankan, dan mengumumkan hasil kajian.

Satu lagi syor GMPPK yang penting dalam menjamin kualiti perkhidmatan kesihatan dan kepentingan kakitagangan kesihatan sektor awam ialah Mewujudkan Suruhanjaya Pekrhhidmatan Kesihatan yang berasingan untuk kakitangan kesihatan dengan terma gaji yang lebih baik. Skim gaji yang diikuti di Institut Jantung Negara harus dijadikan asas bagi gaji baru di bawah Suruhanjaya Kesihatan ini.

Memang peruntukan kesihatan di Malaysia yang hanya 1.9% daripada KNK adalah begitu kurang sangat, berbanding dengan syor Badan Kesihatan Sedunia (WHO) yang berjumlah 5% KNK. GMPPK menyarankan supaya kerajaan menambahkan peruntukan untuk kesihatan ke 4% KNK ataupun RM 21 bilion setahun. Dan yang amat penting juga, iaitu sebarang perubahan ke atas sistem kesihatan Negara, perlu dibincangkan dengan masyarakat terlebih dahulu secara terbuka dan telus sebelum ia diputuskan.

GMPKK yang dibentuk pada tahun 2004 terdiri daripada 83 organisasi masyarakat, badan bukan kerajaan, kesatuan sekerja, persatuan pengguna dan parti politik. Sejak GMPKK dibentuk, perlbagai usaha telah dilakukan untuk menghalang sitem kesihatan kita daripada diswastakan dengan selanjutnya.

Reaksi

Pengedaran risalah oleh GMPPK di Hospital Pulau Pinang pada hari ini, mendapat sambutan yang hangat daripada orang ramai, sama ada pengunjung hospital, pesakit, ataupun kakitangan yang bekerja di hospital. Risalah dalam 3 bahasa (Bahasa Malaysia, Bahasa Tionghua dan Bahasa Tamil) telah diedarkan, dan orang ramai begitu beria-ia untuk mengambil risalah daripada kumpulan-kumpulan kecil yang mengedar risalah di sekitar bangunan hospital. Klinik pesakit luar, klinik-klinik pakar, farmasi dan ruang legar dalam bangunan hospital dipenuhi dengan orang ramai yang asyik membaca risalah-risalah yang diedarkan.

2000 helai risalah Bahasa Malaysia telah dihabiskan dalam masa tidak mencukupi satu jam. Dan ahli-ahli GMPPK terpaksa menghampakan mereka yang datang untuk meminta sehelai risalah.

Satu sidang akbar diadakan di Foyer bangunan hospital pada jam lebih kurang 10.30 pagi.

Lebih kurang pada pukul 11 pagi, Dr. Ong Chee Ling, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang sampai di hospital dalam keadaan tergesa-gesa. Yang telah menunggu di situ ialah Dr. Khor, Timbalan Pengarah Kesihatan Pulau Pinang yang kelihatan amat runsing.

Wakil GMPPK yang diketuai oleh Dr. Jeyakumar Devaraj, selaku setiausaha untuk jawatankuasa kerja GMPPK telah mengadakan perbincangan dengan Dr. Ong. Oleh sebab pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan yang segan untuk “mendedahkan diri” pada media, mereka telah menjemput wakil-wakil GMPPK untuk naik ke Pejabat Pengarah untuk meneruskan perbincangan.

Dalam perbincangan yang dihadiri oleh Dr. Ong, Dr. Khor dan beberapa lagi orang pegawai kanan, Dr Kumar telah menerangkan tujuan GMPPK mengadakan aktiviti hari ini dan tuntutan GMPPK. Dr. Ong agak defensif dalam cubaan mempertahankan pihak atasannya. Tetapi Dr. Ong telah setuju untuk memberitahu Kementerian Kesihatan tentang tuntutan GMPPK dan meminta pihak Kementerian di Putrajaya untuk memberi maklum balas dalam masa satu minggu dan mengadakan dialog dengan GMPPK. Surat kepada Kementerian daripada Pengarah Kesihatan Pulau Pinang ditaip serta-merta dan difakskan pada masa perbincangan dijalankan. Memang efiesien kerja jabatan kerajaan apabila mendapat tekanan daripada masyarakat!

Aktiviti pengedaran risalah di hospital-hospital kerajaan hari ini berjalan dengan lancer dan berjaya. Orang ramai telah dimaklumkan tentang bahayanya perkhidmatan kesihatan diswastakan lanjut. Tindakan pengedaran risalah secara beramai-ramai ini turut mendapat reaksi positif secara langsung, apabila pegawai kanan kerajaan tergesa-gesa datang berjumpa dan mengadakan dialog, serta melakukan kerja dengan serta-merta.

Perjuangan belum selesai. Risiko untuk perkhidmatan kesihatan diswastakan masih wujud sekiranya rakyat tidak bergabung dan mobilisasi besar-besaran untuk menentangnya.

Kesihatan bukannya untuk dijadikan barangan untuk digaut keuntungan, malah merupakan tanggungjawab kerajaan demokratik yang tiada alasan untuk ditolak. Kalau tiadanya sistem kesihatan awam yang baik untuk semua rakyat, hanyalah menjadi angan-angan bagi kita untuk membina satu masyarakat penyayang.

Dilaporkan oleh,

Choo Chon Kai
019-5669518




Reaksi langsung daripada Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang.


Pengedaran risalah dijalankan...

Dr. Jeyakumar Devaraj ditemuramah oleh pemberita

Risalah dalam tiga bahasa...

No comments: